Labels

Saturday, April 05, 2008

Kisah benar: Apabila anak-anak kurang ajar

Kisah ini dari kawan baik aku..

DISIPLIN dan etika di khalayak perlu
diberi perhatian tidak kira di mana
sahaja kita berada khasnya hal berkaitan
tingkah laku dan sopan santun.

Kata orang penampilan sahaja tidak cukup
jika tidak disertakan dengan nilai-nilai
murni dan sikap berhemah.

Saya setuju dengan kata-kata itu.
Tambahan pula semua itu patut bermula
dari rumah. Ini bermakna rumah adalah
tempat paling sesuai memulakan disiplin
diri dan peranannya tentu sekali
terletak di tangan ibu bapa.

Namun bagaimana perasaan seorang ibu
yang telah hilang kudratnya apabila
dimarah dan disergah di khalayak oleh
anak sendiri?

Inilah kisah yang ingin saya sampaikan
kepada pembaca minggu ini. Kisah yang
turut melukakan hati saya sebagai
seorang wanita dan ibu.

Kisahnya berlaku di sebuah restoran
makanan segera di bandar RS.

Bersama anak yang secara kebetulan
pulang bercuti, saya singgah ke restoran
tersebut selepas membeli sedikit barang
keperluan sekolah.

Ketika masuk ke restoran berkenaan,
orang tidak begitu ramai tetapi keadaan
agak tenang.

Melihat satu sudut yang agak selesa dan
setelah memesan makanan, kami memilih
sebuah meja berhampiran pintu, sementara
meja di kiri kanan masih kosong.

Tidak lama kemudian berhenti sebuah
kereta mewah di hadapan pintu utama.
Seorang wanita pertengahan umur bersama
seorang warga emas berkerusi roda dan
seorang pembantu yang saya pasti warga
asing masuk ke restoran tersebut.

Wanita yang berkerusi roda itu pada
perkiraan saya berumur lebih 70 tahun.
Keadaannya uzur dan wajahnya nampak
tidak bermaya. Dia disorong ke meja di
sebelah kami. Sepuluh minit kemudian
masuk tiga lelaki lalu terus ke meja
tersebut. Tidak syak mereka anak-anak
wanita tua itu.

Di kaunter pesanan, wanita yang masuk
lebih awal bersama wanita tua itu saya
lihat memesan makanan dan minuman. Lima
minit kemudian dia kembali ke meja.

Sementara pembantu rumah itu pula mula
mengeluarkan barang-barang yang dibawa
dan diletakkan di atas meja. Antaranya
bekas air plastik, bakul ubat, semangkuk
bubur dan termos air panas.

Anak perempuan wanita itu kelihatan
merungut-rungut. Mungkin meleteri ibunya
atau bercerita tentang sesuatu kepada
tiga orang saudara lelakinya yang terus
mencapai makanan dan memakannya.

Serentak itu, pembantu rumah itu juga
mula menyuapkan bubur kepada warga emas
tersebut. Sesekali wanita tua itu
menepis tidak mahu makan tetapi dipujuk
oleh pembantu rumah itu.

Mungkin geram melihat gelagat ibunya,
wanita itu berhenti makan. Wajahnya
kelihatan marah.

Dengan mulut masih becok berkata-kata,
dia menyuap bubur itu bertubi-tubi ke
mulut ibunya, tercungap-cungap jadinya
wanita itu.

Tidak cukup dengan itu, air pula dituang
ke dalam gelas plastik dan dihulurkan
dua biji ubat kepada wanita itu dan
menyuruhnya telan.

Saya patah selera untuk makan dan
memberi perhatian kepada ‘drama’ di
depan mata saya itu. Saya perhatikan
wanita tua itu terkebil-kebil memandang
anaknya seolah-olah minta dikasihani dan
jangan memaksa dia berbuat demikian.

Sayang sekali, perasaan si ibu rupanya
tidak difahami oleh anak. Mahu tidak
mahu ditelan juga ubat itu.

Tidak sampai lima minit terdengar suara
seperti orang tercekik, diikuti
batuk-batuk yang semakin lama semakin kuat.

Beberapa pelanggan dikeliling berhenti
makan dan memerhati ke arah wanita itu
dan anak-anaknya.

Sebaik berpusing ke arah mereka,
masing-masing berpaling semula dan
menutup hidung.

Rupa-rupanya orang itu sudah memuntahkan
semua isi perutnya kerana terlalu
didesak supaya menelan bubur dan ubat
itu. Seketika keadaan di situ menjadi
kecoh apabila anak-anaknya mula
menengking dan marah-marah.

Perasaan kasihan menyelubungi hati saya
namun apa daya hendak menolong. Tumpuan
kepada makanan di depan turut terjejas.

Beberapa pelanggan saya lihat mula
merungut... keadaan bau juga mula tidak
menyenangkan.

Lima minit kemudian, seorang pekerja di
restoran itu segera masuk membawa
pengelap dan penyapu serta satu baldi air.

Wajah pekerja muda itu juga
berkerut-kerut dan hidungnya kembang
kempis menahan bau. Dalam masa tidak
sampai sepuluh minit saya lihat seorang
demi seorang pelanggan keluar
meninggalkan restoran tanpa menghabiskan
makanan yang masih banyak berbaki.
Begitu juga saya, bukan kerana jijik
tetapi tidak sampai hati melihat orang
tua itu dimarah anak-anaknya. Sayu benar
hati saya.

Apa yang saya pelik kenapa orang tua
yang uzur itu dibawa ke situ sedangkan
sepatutnya dia berehat di rumah dengan
selesa.

Kalau ia pun ke klinik untuk rawatan,
lebih baik jangan singgah makan di
tempat terbuka, beli bungkus dan bawa
balik. Ini tidak, dia dipaksa pula makan
bubur dan ubat. Anak-anak patut faham
ini bukan di rumah. Kalau ia pun sudah
sampai masa makan ubat, kenapa tidak
diberi sebelum mereka keluar rumah.

Kejadian itu bagi saya satu teladan yang
perlu diberi perhatian serius oleh
anak-anak.

Tidak salah membawa ibu yang uzur
berjalan-jalan untuk mendapatkan udara
luar tetapi perlu juga diingat jangan
sekali-kali membebankan minda mereka
dengan perkara yang bukan-bukan.

Lebih baik bawa mereka ke taman-taman
dan pusat rekreasi untuk bersenam atau
terapi daripada mengheret mereka ke
restoran segera yang tentunya bukan
tempat sesuai untuk mereka.

Ralat benar hati saya hari itu. Sedih
apabila melihat seorang ibu tua yang
uzur dimarah oleh anak-anaknya dengan
kata-kata kesat. Tersentuh hati saya
melihat mata kuyu wanita tua itu semasa
dimarah-marah oleh anak-anaknya. Hingga
ke saat ini masih terbayang di mata saya
bagaimana muramnya wajah wanita tua itu
diperlakukan begitu.

Tanpa meminta maaf kepada sesiapa, anak
perempuan wanita tua itu menyorong
ibunya keluar dari restoran tersebut.

Di dalam restoran, suasana makin sepi.
Yang tinggal hanya pekerja yang
ditugaskan membersihkan tumpahan makanan
ibu tua tadi. Kasihan dia...

Saya tidak menafikan gaya hidup boleh
diamal, tetapi pastikan ia tidak
melanggar batas kasih sayang dan hormat
kita kepada orang tua khasnya ibu bapa
apabila berada di khalayak.

Ingatlah, sebesar mana sekalipun
kesilapan ibu bapa, abaikan, maafkan
mereka dan berdoa selalu minta mereka
dilindungi daripada apa juga bahaya.

Menjaga ibu uzur besar pahalanya tidak
terkira ganjaran yang Allah S.W.T akan
berikan. Jangan sakiti hati mereka,
jangan biarkan air mata mereka menitis
sebaiknya gembirakan mereka selagi
hayatnya ada.

Menutup catatan, saya selitkan pesanan
telus untuk renungan bersama: Seorang
ibu yang melihat anaknya terjatuh tidak
akan menangis tetapi akan segera
membalut luka anaknya itu supaya anak
tersebut tidak akan merasa sakit.

Mengingatkan diri saya dan anda juga,
marilah kita berdoa tanpa jemu agar
kedua ibu bapa kita sentiasa di dalam
kesejahteraan di dunia dan akhirat.

“Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa
kedua-dua ibu bapaku serta rahmatilah
(peliharalah) kedua-duanya seperti mana
mereka memelihara aku sewaktu aku
kecil.’’ Amin.

Salam.
Terima kasih kerana membaca Sila ke untuk info menarik

No comments:

Post a Comment